Terlampau ramai telah menulis tentang cadangan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya pulang ke kampung halamannya. Utusan Malaysia merupakan antara satu akhbar yang kuat menentang cadangan itu dan tentangannya kebanyakan berunsurkan emosi dan bukan berunsurkan ideologi.
Ini jelas apabila banyak esei dan artikel memanggil semula pembunuhan yang lalu tanpa menyentuh tentang hak peribadi terhadap harta ataupun pembentukan masyarakat tidak berkelas.
Disebabkan ini, walaupun isu ini jelas menjadi isu perdana, saya kurang gemar menyentuh akan isu ini dan oleh itu, tidak mahu terlibat secara langsung di dalam perdebatan tersebut.
Ini berubah apabila saya terbaca satu perenggan hasil penulisan Zulkiflee Bakar yang diterbitkan oleh Mingguan Malaysia hari ini:
Percayalah, mungkin ada segelintir sahaja yang menyokong gesaan untuk membenarkan Chin Peng kembali tetapi terdapat jutaan lagi rakyat Malaysia menentang keras langkah tersebut. Puak yang menyokong itu adalah terdiri daripada mereka yang bukan sahaja buta sejarah tetapi berfahaman liberalisme, mereka tidak tahu apa itu komunis. [Jangan buta sejarah kerana kepentingan politik. Zulkiflee Bakar. Mingguan Malaysia. Mei 31 2009]
Saya berminat akan definisi liberalisme yang Encik Zulkiflee Bakar gunakan. Saya hairan siapakah yang “berfahaman liberalisme”… “tidak tahu apa itu komunis”?
Tiada penjelasan diberikan di dalam penulisannya. Dia bagai menulis sesedap hati, berseloroh untuk menembak sesiapa sahaja yang tidak bersehaluan dengan fahaman rasisnya yang menuntut kesetiaan tidak berbelah bagi yang wujud di dalam fasisme.
Encik Zulkiflee perlu memahami yang liberalisme beraliran klasik dan komunisme mengimpikan kebebasan walaupun haluan ke arah kebebasan berbeza. Berbanding dengan liberalisme dan komunisme, konsep kebebasan tidak wujud di dalam fasisme.
Jangan lupa, semasa Perang Dunia II, liberalisme dan komunisme bersatu memerangi fasisme yang dimajukan oleh Jerman Nazi. Kenapa itu berlaku perlu difahami oleh Encik Zulkiflee.
2 replies on “[1998] Mengenai apakah definisi liberalisme yang Zulkiflee Bakar gunakan?”
Seriously, I’m confused….
Bukan dia tidak faham, dia tak nak faham sebenarnya!