Categories
Politics & government

[1935] Mengenai ucapan terakhir

Beberapa perkara yang disebut tidak boleh dipersetujui oleh saya. Beberapa perkara lain, walaupun patut disokong, susah untuk dipercayainya kerana tindak-tanduk yang bertentangan dengan retorik.

Walau bagaimanapun, dua perenggan daripada ucapan mantan Presiden UMNO Abdullah Ahmad Badawi harus dipetik:

Sedarilah! di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO, dan jika Barisan Nasional tidak berubah, maka pilihan raya kedua belas pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada Barisan Nasional menubuhkan kerajaan. Selepas ini, rakyat di luar Dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi. Di peringkat negeri, Barisan Nasional turut menghadapi cabaran yang sama. Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa ‘UMNO wajib melakukan perubahan’. Apa yang saya ingin dengar, adalah suara yang menyatakan ‘Aku akan berubah’ lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri. Betapa malangnya UMNO jika ramai yang gagal memahami bahawa UMNO itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, UMNO tidak mungkin dapat berubah.

UMNO kini berada di persimpangan jalan. Laluan yang kita pilih akan menentukan sama ada kita kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu. Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan. Mereka mempercayai bahawa UMNO akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama – kepada order lama, dengan menyekat kebebasan warga – dengan menghalang warga dari menyuarakan kritikan. Mereka berpandangan bahawa UMNO itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu, dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu. Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia.

Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang. Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat UMNO. Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti UMNO yang kita kasihi ini. Jika kita terus bertanding begitu hebat, bermati-matian untuk merebut jawatan, tetapi apakah ertinya jawatan tersebut kepada UMNO yang telah tinggal rangka yang terbujur di kuburan. Barang dijauhkan Allah dari UMNO menimpa nasib hiba yang sedemikian. Atas kesedaran tersebut, atas rasa cinta kepada UMNO, atas rasa tanggung jawab terhadap UMNO dan bangsa Melayu, saya memilih untuk menunjukkan teladan, dengan tidak mempertahankan jawatan Presiden parti, bertujuan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda walaupun masih terdapat ramai dari ahli-ahli parti dan rakan-rakan baik di dalam ataupun di luar Kerajaan meminta saya untuk terus mempertahankan jawatan. Saya menghargai keputusan rakan-rakan yang turut memilih langkah yang sama, baik di peringkat bahagian mahupun cawangan, baik di peringkat pemuda, wanita dan puteri. Bahawa jawatan dan kedudukan bukannya milik peribadi; sedangkan harta milik peribadi juga tidak akan dapat dibawa sampai ke mati. [Ucapan Dasar Presiden UMNO. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mac 26 2009]

Mungkin ini adalah satu kesedaran, walaupun ia tidak bermakna lagi.

By Hafiz Noor Shams

For more about me, please read this.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.