Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur Salleh Majid menulis tentang dialog yang beliau hadiri di dalam Utusan Malaysia hari ini.[1] Beliau menyenaraikan pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia, masalah yang diakui kewujudannya oleh kerajaan Barisan Nasional hanya selepas Pilihanraya Umum 2008. Masalah-masalah ini kemudiannya dijadikan sebagai alasan untuk mengaminkan campur tangan kerajaan di dalam ekonomi negara serta polisi Barisan Nasional. Walaupun masalah-masalah ini wujud, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk campur tangan yang lebih hebat kerana kerajaanlah yang menjadi sumber kepada kebanyakan masalah-masalah ini.
Sistem pendidikan yang lemah disebut sebagai satu punca kepada struktur ekonomi negara yang tidak menyakinkan. Siapakah yang mempermainkan sistem pendidikan kita? Siapakah yang mengikat kaki dan tangan pelajar serta tenaga pengajar? Siapakah yang memperbodohkan beberapa generasi rakyat Malaysia demi kepentingan politik? Kerajaan.
Karenah birokrasi kerajaan adalah satu lagi faktor yang diketengahkan. Adakah birokrasi tersebut disebabkan oleh pasaran bebas?
Kemudian disebutnya masalah korupsi dan rasuah. Ini adalah perkara yang kelakar. Siapakah penyebab utama perkara tersebut berleluasa? Pasaran bebas? Bukankah bahagian eksekutif kerajaan yang dikuasai oleh Barisan sekian lama yang telah meluaskan kuasa mereka sehingga sistem timbal balik hilang reputasinya? Bukankah kerajaan persekutuan dan negeri Barisan Nasional yang sewenang-wenangnya menggunakan duit rakyat untuk kepentingan parti? Bukankah punca korupsi itu adalah kerajaan?
Kewujudan kartel dan monopoli adalah masalah yang besar. Tetapi, siapakah yang menggalakkan pembentukan monopoli ini? Siapakah yang menggalakkan industrialisasi secara penggantian import di Malaysia? Siapakah yang menyekat pemberian lesen? Kerajaan! Kerajaan! Kerajaan!
Beliau akhir sekali menyebut beberapa negara yang mengalami masalah ekonomi yang kononnya disebabkan oleh sikap free for all. Beliau menyebut tentang Sepanyol, Portugal, Itali dan Greece. Tetapi, bukankah masalah negara-negara ini adalah saiz defisit fiskal yang besar yang disebabkan oleh perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal? Adakah kemampuan kerajaan-kerajaan ini untuk mengawal keadaan fiskal mereka disebabkan pasaran bebas? Mereka yang memperjuangkan pasaran bebas kebanyakan mahu saiz kerajaan dikurangkan. Penyokong pasaran bebas mahukan perbelanjaan kerajaan dikurangkan lalu mengatasi masalah defisit.
Jadi, mengapa salahkan pasaran bebas apabila kerajaan yang menyebabkan semua ini?
Ini penipuan yang tidak boleh dibiarkan.
Yang lebih mengarut lagi, masalah-masalah ini ditulisnya akan menjadi lebih teruk jika pasaran bebas dilaksanakan. Kerajaanlah penyebabnya, tetapi beliau tidak mengakui akan kebenaran ini. Malah, menurut beliau, kerajaan perlu campur tangan untuk mengatasi masalah ini.
Ini adalah satu pegangan yang mungkin lucu, jika ia tidak pernah memusnahkan negara ini.

[1] — BEBERAPA kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NG0), usahawan Bumiputera Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah berpeluang memberikan pandangan mereka tentang Model Ekonomi Baru(MEB) kepada Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Tan Sri Amirsham Aziz pada hari Khamis 25 Februari yang lalu. [Dialog dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Salleh Majid. Utusan Malaysia. Mac 1 2010]