Categories
Education Liberty Society

[1877] Mengenai pemerkasaan minda

Di zaman dahulu kala di Yunani, bidang logik, tatabahasa dan retorik perlu dikuasai sebelum seseorang itu melangkah ke tahap pendidikan yang lebih tinggi. Dikenali secara kolektif sebagai trivium, sukatan ini bertujuan untuk memperkasakan seseorang individu itu dengan membolehkannya memiliki pemikiran yang berdikari.

Adalah mudah untuk memahami mengapa sukatan trivium disediakan untuk memperkasakan minda seorang manusia. Bidang logik mengajar tentang batu asas cara berfikir. Bidang tatabahasa pula bersangkut-paut dengan bagaimanakah cara untuk melahirkan hasil sesuatu pemikiran manakala bidang retorik menyentuh tentang kaedah penyampaikan pemikiran.

Walaupun tamadun Yunani sudah lama terkubur untuk memberi laluan kepada tamadun-tamadun yang lebih hebat, falsafah pendidikan trivium terus hidup ke zaman kontemporari sebagai falsafah pendidikan liberal. Pendidikan liberal, seperti sukatan trivium, bertujuan untuk mengasah keupayaan intelektual manusia. Matlamat ini adalah penting bagi meruntuhkan segala kongkongan kebudayaan yang berasaskan kepada ketakutan yang timbul daripada kejahilan.

Minda manusia yang tidak terlatih akan terperangkap di dalam pemikiran yang kolot kerana dia akan terikat kepada tradisi yang diwarisi. Tanpa minda yang terlatih, seseorang itu akan mengikuti sesuatu tradisi itu tanpa usul periksa hanya kerana sesuatu perbuatan itu telah diamalkan sejak dari dahulu lagi. Dia akan gagal melahirkan soalan-soalan yang penting untuk memahami dan merasionalkan amalan-amalan tradisional. Tanpa soalan-soalan tersebut, status quo, termasuk amalan-amalan lapuk yang tidak berguna akan berterusan bersama dengan amalan-amalan yang baik.

Tanpa soalan dan dengan kesetiaan yang buta, golongan ini bagaikan lembu yang hidungnya ditarik. Ke mana jua ia ditarik, di situ juga akan mereka pergi tanpa sebarang persoalan, walaupun destinasinya adalah sebuah rumah penyembelihan di mana kezaliman bakal berlaku.

Ini amat menguntungkan kepada mereka yang mendapat manfaat daripada pelanjutan pengamalan tradisi secara membuta tuli. Mereka ini akan mencipta pelbagai cerita dongengan yang menceritakan akibat-akibat buruk yang akan melanda sesiapa yang berani mencabar naratif yang sedia ada. Dengan minda yang kurang cekap, individu-individu akan menerima naratif tersebut. Sekali gus, batasan didirikan.

Jika ada kumpulan minoriti yang mencabar tradisi, lembu-lembunya tersebut akan dipergunakan untuk bertindak ke atas pencabar-pencabar pemikiran tradisional. Lembu, tanpa keupayaan untuk berfikir dengan sendirinya, tidak akan mendengar apa-apa hujah yang dilontar. Ini adalah sebab utama pendidikan menjadi agenda penting di dalam masyarakat yang liberal. Masyarakat liberal tidak mampu ditampung tanpa pendidikan yang memperkasakan minda.

Tiada masyarakat yang benar-benar merdeka selagi ahli-ahlinya masih dijajah oleh orang lain, baik bangsa asing ataupun bangsa sendiri. Tiada individu itu benar-benar merdeka selagi mindanya tidak bebas. Kejahilan, ketakutan dan kezaliman akan sentiasa menguasai sesuatu masyarakat itu selagi ahli-ahlinya tidak mampu atau tidak mahu memiliki pemikiran yang berdikari.

Falsafah pendidikan liberal mampu melahirkan satu masyarakat yang majoritinya mempunyai pemikiran yang berdikari kerana sistem ini menggalakkan pelajar-pelajar mempersoalkan segalanya tanpa batasan.

Di sinilah di mana sistem pendidikan Malaysia yang sedia ada mengalami kegagalan.

Di negara ini, kita terlampau taksub di dalam usaha kita untuk menambah bilangan jurutera, doktor dan pelbagai lagi pakar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. Demi memenuhi keperluan-keperluan ini, kita melihat pengkhususan aliran dari awal lagi lalu mengetepikan agenda pembinaan intelektual. Akhirnya, kita mengeluarkan robot yang mampu melakukan pengiraan-pengiraan rumit tanpa memahami konteks.

Kadang-kala, kita perlu belajar merangkak dahulu sebelum berjalan dan berlari. Ini amat penting di dalam mewujudkan satu sistem pendidikan yang ingin melahirkan insan kamil. Perkara-perkara asas yang disarankan oleh pendidikan liberal perlu dimahiri dahulu bagi menyediakan minda pelajar untuk menelaah bidang-bidang yang lebih tinggi yang memerlukan daya pemikiran yang kompleks.

Seperti pepatah Melayu, melentur buluh, biarlah dari rebung ini. Falsafah pendidikan liberal hanya akan berkesan jika falsafah ini diterapkan di peringkat pendidikan rendah, di tahap awal pendidikan seseorang insan.

Jika batu asas gagal diperbetulkan, manakan menara yang tinggi mampu berdiri dengan lama. Kegagalan individu untuk menguasai kemahiran asas untuk berfikir, menulis dan bertutur secara baik sebelum beredar ke peringkat yang lebih tinggi akan hanya menggalakkan pelajar-pelajar menerima apa sahaja yang ditulis di dalam buku, di papan putih dan apa sahaja yang dipercakapkan oleh guru-guru. Tanpa kemahiran asas ini, minda tidak dapat diperkasakan.

Apatah lagi apabila sistem pendidikan Malaysia sendiri hanya menyembahkan fakta-fakta untuk diingati tanpa menggalakkan pelajar-pelajar sendiri berfikir untuk tiba ke satu kesimpulan. Pembezaan, evolusi, jadual berkala, momentum antara lain semuanya diterangkan sebagai satu kebenaran. Walaupun tamadun manusia telah berjaya memahami semua ini, ini tidak bermaksud bahawa perkara-perkara ini harus diperkenalkan kepada pelajar-pelajar sebagai satu kebenaran.

Sebaliknya, adalah penting mereka bermula dengan semangat skeptikisme. Seperti Socrates hampir dua setengah ribu tahun yang lalu, pelajar-pelajar harus mencapai kesimpulan hanya setelah menanyakan satu siri soalan yang mana guru hanya memainkan peranan sebagai seorang koordinator dan bukan sebagai sumber maklumat seperti yang lazimnya. Ini melatih minda untuk berdikari.

Pembentukan budaya minda berdikari dan perkasa akan melenyapkan ketakutan yang timbul daripada kejahilan. Lama-kelamaan, pelajar-pelajar akan berani mencabar segala perkara atas semangat ingin tahu.

Pendidikan liberal bukan sahaja membina intelek seseorang dengan memberikannya dengan alatan asas untuk berfikir, menulis dan bertutur. Sistem pendidikan liberal memberikan pelajar-pelajar peluang untuk membuat keputusan dengan fakultinya sendiri. Ini datang dengan menggalakkan pelajar-pelajar mendalami minat mereka dan bukan hanya melalui laluan yang disediakan oleh orang lain.

Oleh kerana arah yang dituju ditentukan oleh mereka sendiri, pelajar-pelajar akan secara sukarela untuk memikul tanggungjawab peribadi mereka sendiri. Secara tidak langsung, ini melahirkan seorang individu yang bukan saja diperkasakan dengan minda yang tajam, malah seorang individu yang sedar akan kesan tindakannya ke atas diri sendiri.

Semua ini membentuk satu individu yang perkasa, mampu untuk menentukan halatuju hidupnya. Mindanya sentiasa terbuka dan tidak mudah menjadi mangsa kezaliman. Sebagai unit asas masyarakat, individu yang perkasa dapat mewujudkan dan menampung satu masyarkat yang liberal.

Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved

Tulisan ini telah terdahulunya diterbitkan di Project Malaysia pada Januari 16 2009.

By Hafiz Noor Shams

For more about me, please read this.

3 replies on “[1877] Mengenai pemerkasaan minda”

Pemikiran masyarakat Melayu pada zaman sekarang ini lebih cenderung kepada menerima sahaja “kebenaran” yang tertulis di buku-buku teks.

Saya melihat perkara ini sebagai satu kesan langsung daripada pengamalan dan penerimaan tidak berbelah-bagi agama yang mereka anuti.

Semasa saya di sekolah agama dahulu, saya sering menyoal guru tentang dogma yang diajar, dan biasanya jawapan yang diberi ialah, “begitulah kehendak Tuhan” tanpa disokong dengan fakta atau bahas yang logik.

Kesannya, cara pemikiran yang dipupuk dan diamalkan oleh guru-guru agama di Malaysia telah sedikit demi sedikit menakluk cara penyampaian ilmu sekular.

Pada pemikiran saya, dasar pendidikan negara sudah cukup lengkap untuk melahirkan insan yang berfikir. Lihat sahaja konsep KBKK yang diperkenalkan pihak berkuasa pada awal 90-an.

Yang menjadi masalah ialah guru. Guru-guru tidak sanggup dihujani dengan pelbagai soalan-soalan yang dilemparkan pelajar. Hal ini adalah kerana mereka juga adalah produk lahiran sistem dahulukala yang lebih mementingkan proses ingatan fakta daripada pemikiran mendalam mengenai sesuatu perkara.

Leave a Reply to Tinta SisyphusCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.