Categories
Politics & government

[1861] Mengenai kerajaan pembangkang

Membaca Utusan Malaysia bukanlah satu perkara yang lazim saya lakukan. Surat khabar itu hanya dibelek apabila hidup mula terasa bosan kerana tiada apa mahu dilakukan lagi, seolah-olah sudah tiba masanya hayat ini dihentikan. Duduk di atas kerusi sambil merenung ke peti televisyen yang tidak terpasang, akhbar Utusan berada di atas meja. Lalu diangkat untuk dibaca.

Apabila terbaca muka hadapannya, teringat mengapa hanya melihat akhbar itu bukanlah satu perkara yang menyenangkan. Tekanan darah yang berada di tahap sihat tiba-tiba memuncak dengan nafsu amarah. Perlahan-lahan, kemahuan untuk ke dapur untuk menyiatkan akhbar propaganda ini dengan sebilah pisau tajam beribu kali berulangan bagai tidak mampu ditampung lagi.

Sebelum bersedia untuk memberhentikan pengalaman yang tidak berguna ini, itu dia; di dalam tulisan tebal dan besar, “Kerajaan pembangkang diminta sedia tapak PPRT“.

Kerajaan pembangkang?

Kerajaan pembangkang?

Binatang apa itu?

Sebenarnya, maksud dan konteksnya jelas. Akan tetapi, istilah itu menampakkan betapa Utusan masih lagi tidak menerima kenyataan yang apa mereka terbiasa kenal sebagai pembangkang dahulu kini adalah kerajaan. Bagi yang mampu menempuh realiti, kerajaan Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan adalah kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Perbuatan memanggil kerajaan-kerajaan negeri ini sebagai kerajaan pembangkang adalah satu usaha untuk memutar-belitkan keadaan. Perkara inilah yang membuatkan akhbar-akhbar seperti Utusan hilang kredibiliti.

George Orwell menulis di dalam Nineteen Eighty-Four, slogan The Party adalah peperangan itu keamanan, kebebasan itu perhambaan, kejalilan itu kekuatan. Bagi Utusan, mungkin slogan yang sama sedang diguna pakai, dengan tambahan: kerajaan itu pembangkang (caveat: di tempat-tempat tertentu sahaja).

The Party tidak boleh dipercayai. Begitu juga dengan Utusan Malaysia.

By Hafiz Noor Shams

For more about me, please read this.

One reply on “[1861] Mengenai kerajaan pembangkang”

Leave a Reply to shahCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.