Walaupun bertahun sudah berlalu, teringat lagi bagaimana rasanya pertama kali melangkah ke dalam Kolej Melayu. Institusi itu menjanjikan satu masa hadapan yang cerah kepada mereka berpeluang menjejakkan kaki di situ. Peluang bagaimanapun memerlukan satu perubahan pahit yang perlu ditelan. Untuk mencapai bintang-bintang di langit, segala kebebasan dan kemewahan yang dinikmati sebelum ini harus dilupakan. Masalah untuk menyesuaikan diri timbul; perasaan gementar menguasai jasad. Setiap hari baru dimaki hamun, hari yang dahulu dikenang. Apabila tibanya masa untuk meninggalkan Kuala Kangsar, tanpa disedari air mata berlinang di pipi.
Perkara yang sama berlaku apabila diri ini pertama kalinya merentasi Lautan Pasifik yang luas. Sekali lagi perubahan berlaku dan rutin kehidupan dimusnahkan tanpa belas kasihan. Ketakutan menyelubungi tubuh memikirkan apa yang bakal didepani. Amat berbeza daripada Kuala Kangsar, di Amerika adalah satu masyarakat asing tetapi jauh lebih matang dan moden, tatkala dahulu terbiasa dengan satu dunia di bawah tempurung, di mana kita kononnya tuan. Terkeluar dari tempurung, langit biru dan sinaran matahari mencabar pemahaman sempit dan seterusnya memaksa pengarangan falsafah baru untuk menyelesaikan masalah baru. Tetapi diketahui, di sebalik perubahan itu wujud satu peluang tidak terhingga untuk dikecapi. Perubahan itu harus ditempuhi demi kejayaan.
Lebih 50 tahun selepas Tanah Melayu bebas daripada tangan penjajah, Malaysia sekarang melalui satu perubahan yang layak dicatat di dalam buku sejarah. Kawan dan lawan semuanya terkejut akan terbukanya satu laluan baru ke arah matlamat agung.
Untuk mencapai kegemilangan, pengorbanan diperlukan. Pintu terbuka dan kelihatan satu denai ke tanah yang jauh lebih subur; kekabut dibersihkan oleh sang angin dan hala tuju kini jelas. Akan tetapi, denai itu mendaki gunung-ganang dan merentasi hutan belukar; usaha dan kecekalan diperlukan.
Untuk yang bercita-cita tinggi dan yang berkeyakinan, halangan itu bukanlah satu masalah. Kepada yang lain, mereka takut untuk mencuba walaupun satu takdir yang jauh lebih hebat daripada apa yang berada di sini menanti di sebalik banjaran. Bagai dipukau dengan dongengan, denai dijauhi. Bukan sahaja mereka takut, malah mereka menghalang yang lain daripada meniti denai itu. Mereka takut jika yang lain berjaya, dongengan itu akan musnah. Bagi mereka, dongengan itu terlampau suci untuk dicabar. Bagi mereka, jika dongengan itu dikapankan, mereka terpaksa mendaki gunung itu. Mereka risau mereka perlu mendaki gunung-ganang itu jika mereka tidak mahu ditinggalkan.
Ribuan tahun menetap di kampung, realiti dunia juga mula dilupakan. Dunia berubah tetapi dia tetap dengan caranya yang kolot dan tegar. Dia tidak mampu memahami perubahan lalu dia menolak realiti baru sebagai tidak relevan. Dengan dunia sebagai tidak relevan, dia meneriak di dalam tempurungnya tentang betapa hebat dia di dalam alam kecilnya. Kesian tetapi yang sedar tidak mampu untuk menunggu mereka yang tidur.
Dunia sekarang jauh berbeza dari dunia 1970-an. Jika dulu kita memperkatakan tentang Vietnam, sekarang kita berbincang tentang Iraq. Jika dahulu kita masih lagi berdebat tentang jenis hak pemilikan harta, kini pasaran bebas telah membuktikan kegagahannya. Pada masa yang sama, telegram memberi laluan kepada internet. Dan jika dahulu rakyat masih mempunyai prasangka buruk terhadap mereka yang berlainan warna kulit, sekarang satu idea mula didokong untuk menyatukan semua tanpa mengira agama dan kaum.
Dasar Ekonomi Baru dibentuk berlatarkan satu suasana yang asing kepada generasi baru. Suasana itu adalah satu situasi di mana ekonomi-ekonomi masih berdiri secara berasingan. Modal dan buruh terkongkong lalu kekayaan dan kesejahteraan boleh dibina di atas sebidang tanah yang dikelilingi tembok tinggi. Apabila Tembok Berlin tersungkur, arus globalisasi mula terpasang. Pasaran mula menjadi bebas, modal dan pakar-pakar mula mencari pulangan terbaik tanpa mengira sempadan.
DEB gagal mengambil kira akan perubahan ini. Tembok yang membolehkan DEB berjaya telah dilanggar dan kemudian diranapkan oleh gelombang globalisasi. Tanpa tembok ini, kaedah DEB tidak berkesan. Sekatan dan diskriminasi yang dikenakan oleh dasar lapuk itu hanya menghalaukan modal dan pakar keluar dari negara kita; DEB adalah antara sebab mengapa Malaysia mengalami kehilangan kepakaran secara berterusan. Jika dasar ini berterusan, Malaysia akan tertinggal berbanding negara-negara yang mengamalkan polisi yang lebih bebas yang mengambil kira keadaan semasa. Kita perlu menarik yang terbaik ke negara kita, bukan menghalau mereka dan kebebasan adalah satu faktor yang berkesan untuk menarik pelbagai sumber yang produktif.
Tambahan lagi, DEB gagal kerana dasar itu tidak mengajar kumpulan yang ingin dibantunya tentang cara untuk bersaing dengan sihat. Apa yang pada mulanya satu usaha untuk mempercepatkan kematangan kini menjadi dadah yang menguatkan ketagihan.
Setelah sekian lama berada bersama DEB, ramai yang sudah ketagih dengannya. Ramai lagi yang bersedia untuk mempertahankan dasar lapuk itu walaupun rekahan mula muncul dan mengacam untuk merobohkan menara yang terbina, seolah-olah DEB itulah segala-gala. Seolah-olah, DEB itulah kebenaran untuk sepanjang zaman seperti konsep kewujudan ketuhanan tanpa permulaan dan pengakhiran.
Kita sebagai masyarakat perlu prihatin terhadap perubahan. Tanda-tanda di sekitar kita perlu diambil kira; tumbuhan yang dulu menghijau kini layu dan kuning; bumi yang kaya dahulu kini kering kontang. Untuk mengelakkan kejatuhan tamadun, satu penghijrahan diperlukan. Kita perlu mengatasi ketagihan kerana ketagihan membawa kepada kejatuhan. Ayuh kita bergegas ke tanah yang lebih subur sebelum terlambat.
p/s — satu versi tulisan ini telah diterbitkan di Bolehland.
4 replies on “[1588] Mengenai tanah yang lebih subur”
[…] of affirmative action. My personal experience has taught me the truth of those words. Given my unfriendly position with respect to the flawed affirmative action in Malaysia, my critics have used that very same idea […]
[…] NEP is an outdated policy because it fails to adapt itself to new reality of freer global market. At one time given the landscape of the 1970s, it was […]
You rock la Hafiz!
Definitely a page worth to bookmark.
On different note, I think KK is much bitter compare to the world. We were 12, sent to a stagnant town.
IMHO, the biggest setback of NEP are no other than “culture blockage”. Every time I visit PutraJaya, I shake my head on the architecture. Those are not “Malaysia” architecture, but mix of modern and post-modern design from the west.
During her visit on Malaysia, Taiwan writer, Ms Lung Ying Tai has ask,”With so many ethnics, rich cultures and history, why this land failed are yet to produce any world class literature?”