Saya amat membenci perkataan bajet dan lebih mengemari akan perkataan belanjawan. Itu bagaimanapun adalah satu perkara yang remeh dan mungkin hanya mengambarkan keadaan terkini dunia bahasa Melayu. Tiada apa yang perlu digusarkan.
Bacaan pertama belanjawan negara untuk tahun 2008 akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini. Saya ingin bertanya, apa pendapat anda akan belanjawan kali ini?
Saya pasti ia akan berputar kepada satu paksi: pilihanraya. Oleh itu, investment horizon kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi berkemungkinan akan berjangka pendek bertujuan untuk mempergunakan satu kelemahan kebanyakan manusia: tidak ramai mempunyai kebolehan untuk melihat disebalik bukit, walau serendah mana bukit itu.
Defisit perbelanjaan mungkin akan bertambah melalui perbelanjaan kerajaan dalam usaha untuk mengatasi kelemahan komponen eksport bersih yang disebabkan oleh tahap kecerdasan ekonomi Amerika Syarikat yang menurun serta penambahan nilai ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika. Cukai pula mungkin akan dipotong, sekaligus memperkuatkan lagi kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan. Saya rasa, Keynes akan tersenyum seketika, jika ini benar.
Tetapi, kebolehan mendengar mungkin satu kebolehan yang semua individu yang rasional perlu ada. Mari kita berlaku adil dan dengar apa yang Perdana Menteri mahu dilakukan untuk tahun 2008.