Seminggu yang lalu, saya secara sukarelanya mengurus satu petak kecil yang diberikan oleh penganjur Pesta Fotografi Kuala Lumpur kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (persatuan ini lebih dikenali luas sebagai Malaysian Nature Society; MNS) bersama beberapa sukarelawan yang lain. Di situ, saya menemui satu sebab yang kukuh yang mengatakan bahawa penyertaan di dalam parti politik bukan satu jalan eksklusif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Tugas saya di pesta tersebut adalah amat mudah: menyakinkan para pelawat untuk menyertai atau menyumbang kepada MNS. Dengan bahan-bahan bacaan yang berkaitan di tangan saya, saya berusaha untuk menambahkan lagi bilangan anggota MNS. Salah seorang pelawat yang saya temui adalah seorang wanita muda yang berkemungkinan berkongsi umur saya. Rambut lembutnya yang melepasi bahu serta senyuman yang menawan membuatkan saya tergaman sementara.

Saya tidak tahu mengapa tetapi saya sering gementar akan wanita yang mempunyai paras rupa seperti dewi. Meraka yang rasional tidak mungkin berani untuk menaikkan nafsu amarah seorang dewi, lalu menjemput bencana dan saya adalah seorang yang rasional. Akan tetapi, Si Dewi bagai satu jasad cakerawala menghasilkan satu daya penarik yang terkuat, yang mengatasi kerdil-kerdil yang lain; wajahnya mengingatkan saya akan seorang rakan yang pernah saya dampingi suatu masa dahulu. Teringat kembali zaman yang gemilang bebas daripada tanggungjawab yang besar.

Saya yang mulanya segan menebalkan muka untuk menghampiri Si Dewi yang saya yakin menetap di kayangan dengan harapan supaya Si Dewi menyertai MNS; ini akan membolehkan saya menemuinya dengan kerap. Setelah saya cuba mempengaruhinya, Si Dewi kemudiannya berkata di dalam bahasa Inggeris yang tidak tercemar dengan bahasa pasar masyarakat awam, mengapakah saya perlu menyertai MNS untuk mencintai Bumi sedangkan saya boleh menyayangi Bumi dengan sendirinya?

Saya berjaya menjawab persoalan itu dengan baiknya dan kemudian, kami mula berbual kosong. Terampung rasanya seketika di awang-awangan!

Tidak beberapa lama kemudian, kami terpaksa berpisah. Untuk mengawal kaki yang mula lemah setelah berdiri di sebelah seorang dewi, saya duduk di atas kerusi lalu mencuba menenteramkan hati yang bercelaru. Sewaktu inilah saya berfikir kembali akan persoalan Si Dewi: mengapakah saya perlu menyertai MNS untuk mencintai Bumi sedangkan saya boleh menyayangi Bumi dengan sendirinya?

Walaupun saya berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, tetapi persoalan itu terus bermain di dalam fikiran saya beberapa hari selepas pesta fotografi itu. Gusar rasa hati tetapi lama-kelamaan, saya memahami sebabnya.

Rakan-rakan selalu mengkritik pendirian saya yang tidak mahu terlibat secara langsung di dalam parti politik walaupun saya mempunyai pegangan politik yang tegas dan mungkin sedikit selaras dengan kiblat mereka. Mereka sering menyindir, mengatakan apa gunanya saya berkongsi pendapat dan mencadangkan polisi-polisi jika saya sendiri tidak mahu terlibat secara langsung di dalam bidang politik. Saya jarang menjawab sindiran itu dan hanya mampu memberikan senyuman sebagai balasan kerana saya tahu, mereka akan menang, buat masa itu. Tetapi tidak lagi sekarang dan saya ingin berterima kasih kepada Si Dewi yang membantu saya menepis sindiran rakan-rakan yang aktif berpolitik.

Sesungguhnya, penglibatan langsung di dalam parti politik bukan satu jalan yang eksklusif ke arah perubahan, ke arah kebaikan, yang diingini oleh sesiapa. Malah, kadang-kala penyertaan di dalam parti politik boleh mengugat usaha ke arah kebaikan disebabkan prasangka yang wujud di dalam masyarakat. Ini bukan satu kesimpulan yang ketara tetapi kesimpulan ini perlu dimasyhurkan sekuat hati lagi mengemarkan dunia. Sudah tiba masanya untuk saya tersenyum atas sebab yang lebih baik.

Ada pelbagai cara untuk melakukan perubahan selain daripada menyertai parti politik. Satu daripadanya adalah dengan menyertai badan bukan kerajaan, seperti MNS. Atau, dengan bekerjasama atau mendesak kerajaan yang sedia ada dari dalam. Ini bagaimanapun tidak bermaksud saya bersedia menyokong kerajaan yang sedia ada tetapi ia lebih cendorong kepada pragmatisme. Kadang-kala, sesuatu yang baik dari segi moral itu boleh dicapai dengan bekerjasama; kadang-kala, pertumpahan darah tidak mungkin dielak. Kebolehan mengenali peluang yang sedia ada adalah penting bagi membina satu masyarakat yang agung.

Yang paling penting dalam memperkuatkan kesimpulan saya adalah satu konsep yang sering disebut di dalam bidang ekonomi: pengkhususan.

Bukan semua orang berbakat untuk berpolitik dan bukan semua orang boleh menyumbang secara terbaik melalui parti politik. Dalam konsep pengkhususan, seseorang itu patut atau akan berkecimpung di dalam perusahaan yang mana dia paling produktif. Melihat dari sudut ini, saya yakin yang saya lebih produktif dalam satu bidang yang tidak berkaitan dengan penyertaan parti politik. Saya mungkin menyimpan rasa simpati yang jujur kepada sesuatu parti politik tempatan tetapi saya yakin sumbangan saya di dalam bidang yang lain akan memberi kesan yang lebih hebat ke atas masyarakat. Tambahan lagi, jika saya terlibat secara langsung ke dalam parti politik, terdapat kos peluang yang terpaksa saya harungi. Kos peluang ini, buat masa ini, adalah terlampau besar untuk ditempuhi. Bukan sahaja saya tidak mampu menerima kos itu, tetapi cita-cita saya tidak memanggil saya aktif berpolitik.

Saya mempunyai impian saya sendiri yang perlu dikejar. Saya tidak percaya dan masih tidak yang penyertaan di dalam politik buat masa ini dapat membantu saya mengambil madu lebih yang terletak tinggi mencapai langit yang membiru. Apabila madu itu sudah puas dirasai, mungkin penyertaan saya boleh difikirkan dengan lebih mendalam.

Akhir sekali, saya mencintai kebebasan. Penyertaan politik, lebih lagi di dalam keadaan politik semasa masa, memanggil sesetengah semangat kebebasan itu dipatahkan. Saya sama sekali tidak menerima membatasan ini. Aku tidak akan menghina pemikiran aku sendiri. Aku tidak dayus seperti ahli-ahli politik yang sedia ada, yang tidak langsung mengenali apa itu maksud pendirian yang selaras.

Ada sesuatu yang lebih agung daripada politik dan aku inginkan keagungan itu.

Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved

Tulisan ini telah pertama kali diterbitkan di Bolehland pada Ogos 2007.

One Response to “[1961] Mengenai politik bukan jalan eksklusif ke arah perubahan”

  1. on 26 Apr 2009 at 08:00 The KL Traveler

    Wah… dah dapat no tepon SiDewi ke .. hehehe

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply

*