Sering kali saya terdengar akan keperluan untuk rakyat Malaysia membentuk satu nasionalisme baru untuk mengatasi cabaran masa muka. Dengan mudahnya, nasionalisme ini mengimpikan satu bangsa yang merangkumi semua rakyat Malaysia, di mana semua memiliki hak-hak yang saksama tanpa pilih kasih. Ramai mengenali nasionalisme baru ini sebagai bangsa Malaysia. Walaupun saya mungkin bersimpati dengan konsep ini berbanding dengan apa yang sedang dipegang oleh pihak yang masih berselindung di dalam sangkar perkauman, saya berpendapat bahawa bangsa Malaysia berada tidak jauh dari tarikh luputnya.

Sebelum kita berbicara tentang mengapa saya berfikiran demikian, kita perlu memahami mengapa bangsa Malaysia lahir. Tidak perlu kita membelek buku-buku sejarah, politik ataupun falsafah untuk memahami perkara itu. Jawapan ringkas tetapi tepat boleh diperoleh dari batu asas kepada pemikiran kenegaraan yang memperjuangkan satu bangsa yang mengandungi pelbagai kaum untuk satu negara; batu asas itu adalah negara bangsa atau nation-state.

Negara di sini bukan yang segera difahami oleh semua. Bahasa Melayu — seperti apa yang akan ditegaskan oleh penyorak-penyorak bangsa Malaysia, bahasa Malaysia atau sekurang-kurangnya pembicaraan popular tempatan yang bersangkut paut tentang kenegaraan — gagal membezakan konsep country (negara, negeri atau wilayah boleh dilukis di atas kertas), nation (negara atau lebih tepat bangsa) dan state (negara sebagai satu institusi) secara memuaskan. Kekeliruan ini menjadikan perdebatan tentang negara Islam di Malaysia berganjak satu perkara yang penting kepada satu pertunjukan sarkas yang tidak bermakna. Susah untuk seseorang itu memastikan sama ada penyokong dan penentang negara Islam berdebat tentang Islamic state atau Islamic country. Ini sendiri membuatkan saya duduk jauh daripada perbahasan mengenai negara Islam di mana para pendebat tidak sedar akan perbezaan penting ini.

Kembali kepada perkara pokok dengan harapan masalah penterjemaah tidak mengaburi apa yang saya mahu kongsi bersama, negara bangsa mengatakan bahawa sesuatu bangsa, satu kelompok manusia yang berkongsi warna kulit, bahasa, agama atau secara amnya budaya, berhak mentadbir dirinya sendiri. Pentadbiran ini direalisasikan dengan mendirikan satu institusi iaitu negara atau state.

Pemimpin-pemimpin Malaya dan kemudiannya Malaysia sendiri cuba mendirikan negara kita di atas konsep negara bangsa, di mana bangsa itu adalah bangsa Malaya (Malayan) and kemudiannya Malaysia (Malaysian). Bagi negara yang berbilang kaum, pelbagai bangsa, usaha untuk mendirikan satu negara bangsa akan bertemu dengan satu halangan yang besar: ketiadaan satu bangsa organik yang merangkumi semua bangsa; ketiadaan bangsa mengiakan negara yang mengandungi pelbagai bangsa organik; tiada bangsa yang organik yang menerima bangsa Melayu, Cina, India dan ”bangsa lain-lain” sebagai anggota dengan yakin.

Mungkin bangsa longgar wujud beberapa dekad setelah imigrasi besar-besaran ke negeri-negeri Melayu serta Borneo berlaku. Pendapat ini bagaimanapun terlampau bersifat subjektif dan sukar dibentuk di dalam minda dengan baiknya tanpa pencanggahan.

Walau bagaimanapun, jika kita melupakan sementara masalah definisi itu dengan semangat pragmatisme, bangsa yang baru itu tidak bernama dan hanya dirujuk sebagai satu apabila negara kita terdiri. Dalam usaha untuk mengesahkan negara ini dari pandangan negara bangsa, konsep kerakyatan tidak mencukupi. Keperluan untuk membentuk satu bangsa tiruan wujud di atas ketiadaan bangsa organik. Oleh itu, bangsa longgar yang tidak bernama itu mula dirujuk sebagai bangsa Malaysia, bersemperna negara Malaysia.

Tetapi, falsafah yang diketengahkan oleh negara bangsa berdiri dengan tanggapan yang satu bangsa itu berhak untuk mentadbirkan dirinya sendiri. Soalan yang perlu ditanya adalah ini: perlukan sesuatu negara itu berdiri dengan bangsa sebagai tunggak asas?

Malaysia sendiri berjaya dibentuk tanpa adanya bangsa yang satu. Penekanan terhadap bangsa Malaysia hanya berlaku selepas terbentuknya negara Malaysia. Ini adalah satu tanda yang mengatakan negara bangsa itu tidak menjadi satu syarat dalam pembentukan negara.

Yang lebih ditakutkan, konsep negara bangsa itu sendiri mungkin akan membawa kepada perpecahan negara. Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga bangsa yang berpengaruh besar. Jika konsep negara bangsa dipatuhi dengan taatnya, lambat laun Malaysia akan terbahagi kepada sekurang-kurangnya tiga negara. Ini belum lagi mengambil kira perbezaan agama yang boleh menjadi asas kepada pemikiran negara bangsa.

Di negara-negara lain seperti Perancis, negara bangsa tidak lagi memainkan peranan utama dalam pentadbiran negara. Malah, Kesatuan Eropah sendiri tidak memerlukan satu bangsa luas untuk mengemudi dirinya ke hadapan. Kesatuan tersebut ada masalah-masalahnya sendiri tetapi perlu diingatkan, pembentukan negara itu sendiri memerlukan masa. Apa yang ingin disampai di sini ialah konsep kerakyatan itu sendiri sudah mencukupi.

Tambahan pula, demografik sesuatu negara sering berubah. Pergerakan manusia serta modal yang semakin bebas sering menukarkan kandungan bangsa sintetik seperti konsep bangsa Malaysia itu sendiri. Apabila kandungan bangsa sintetik itu diubah disebabkan pergaulan di antara bangsa-bangsa organik dan lebih penting, para individu, apakah perlu kita mengembleng tenaga sekali lagi untuk mentakrifkan bangsa yang baru? Adakah perlu kita melindungi takrifan bangsa sintetik itu daripada berubah?

Perubahan itu bagaimanapun tidak meminta konsep kerakyatan berubah, jika asas kerakyatan itu bersifat liberal dan buta kepada idea negara bangsa.

Saya sebagai seseorang individu mahu mendekati satu bentuk nasionalisme yang lebih unggul dan luas daripada yang berasaskan negara bangsa. Kita perlu melihat lebih jauh dari konsep bangsa. Ini tidak bermakna kita harus menghapuskan bangsa-bangsa organik. Kita semua adalah seorang individu dan setiap individu itu berhak menentukan cara hidup mereka sendiri dengan syarat tindakan mereka itu tidak merampas hak-hak yang sama yang dinikmati oleh orang-orang lain.

Sebagai satu negara yang kecil, kita harus cergas menerima apa yang terbaik daripada tamadun manusia. Sudah hilang waktu di mana kita boleh melihat kepada kaum kita sendiri untuk mencari kekuatan. Kita harus menjemput mereka yang ingin berusaha untuk membina kehidupan yang terulung walaupun mereka orang asing. Negara atau masyarakat yang mengandungi individu-individu ini akan menaikkan taraf kehidupan masyarakat itu sendiri. Selamat datang diucapkan kepada mereka yang ingin menyumbang dan sanggup menghormati hak-hak individu terhadap kebebasan.

Nasionalisme saya berkisar kepada pembukaan sempadan kita kepada mereka yang terlatih untuk membangunkan negara. Sebelum itu berlaku, kesaksamaan hak-hak terhadap kebebasan perlu dijamin. Nasionalisme ini perlu melindungi semua dengan sama rata, tanpa mengira kerakyatan. Negara yang menjamin semua ini akan menarik yang terbaik di kalangan manusia dan seterusnya membolehkan kita membina satu tamadun yang hebat tanpa sekatan yang terbina atas nama ketakutan.

Konsep negara bangsa merupakan satu sekatan untuk kita maju ke hadapan, jauh meninggalkan yang lain yang masih terkongkong di dalam pemikiran lama.

Saya yakin, inilah nasionalisme yang tertinggi dan terbaik, di mana bangsa itu adalah bangsa manusia. Tidak perlu kita mewujudkan bangsa yang sintetik untuk bersatu. Hanya yang diperlukan adalah kesanggupan untuk kita untuk hormat-menghormati hak-hak asasi individu tanpa memilih kasih.

Nasionalisme yang terluas inilah yang akan mengatasi nasionalisme yang lain.

Baiklah.

Saya mengaku.

Ini sebenarnya menuju ke arah liberalisme.

Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved Mohd Hafiz Noor Shams. Some rights reserved

Satu versi tulisan ini telah pertama kali diterbitkan di Bolehland.

One Response to “[1796] Mengenai buang negara bangsa untuk nasionalisme yang terluas”

  1. […] Buang negara bangsa untuk nasionalisme yang terluas […]

Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply

*